Banjir: Balai Polis tidak terkecuali ditenggelami air

KELANTAN: Banjir besar yang melanda Kelantan telah menyebabkan beberapa buah Balai Polis di sini ditenggelami air.

Keseluruhan sembilan balai polis di Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditutup sementara akibat banjir yang semakin buruk, antaranya Balai Polis Kuala Jambu, Balai Polis Simpangan dan Balai Polis Jeram Perdah.

Pegawai dan anggota polis dari balai-balai yang terjejas telah dipindahkan ke lokasi selamat untuk memastikan keselamatan terjamin.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa aspek keselamatan negara tidak akan dikompromi meskipun dalam situasi bencana.

Difahamkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikerahkan untuk membantu menjaga keselamatan dan menyelamatkan mangsa banjir.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui satu hantaran di Facebooknya berkongsi kesibukan anggotanya dalam membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang terkesan tetapi terdapat premis dan aset milik pasukan itu yang turut terjejas akibat bencana alam itu.

“Ujian tersebut tidak sesekali melunturkan semangat dan mengganggu gugat amanah yang sedang digendong mereka untuk membantu masyarakat yang sedang memerlukan pertolongan.

“Warga PDRM terus berusaha sedaya mungkin membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira waktu dan ketika selari dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Banjir kali ini disifatkan lebih serius dengan lebih 80,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Di Tumpat, sekitar 13,429 mangsa dari 4,159 keluarga sedang berlindung di 26 buah PPS.

Anda Mungkin Berminat