Banjir Kelantan semakin buruk, lebih 80,000 penduduk dipindah

KOTA BHARU: Situasi banjir di Kelantan bertambah buruk dengan lebih 80,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pukul 6.00 pagi tadi, sebanyak 278 PPS beroperasi di 10 jajahan terkesan di seluruh negeri itu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan bahawa Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling terkesan dengan jumlah penduduk dipindahkan seramai 24,890 individu dari 8,472 keluarga yang berlindung di 61 PPS.

Tumpat pula mencatatkan seramai 13,429 individu di 26 PPS, sementara Kota Bharu menunjukkan peningkatan mendadak dengan 10,885 orang dari 3,134 keluarga di 42 PPS.

Lebih banyak PPS dijangka akan dibuka untuk memberikan pelindungan kepada penduduk terjejas banjir terutama di jajahan Pasir Mas.

Bacaan paras air di 10 sungai utama di Kelantan juga melepasi paras bahaya termasuk Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas di Air Lanas Jeli, Sungai Kelantan di Kusial Baru Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan Machang.

Sungai Golok di Rantau Panjang Pasir Mas, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja Kota Bharu, Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat, Sungai Melor di Jambatan Melor Bachok dan Sungai Semerak di Pasir Puteh turut mencatatkan paras air yang membahayakan.

Anda Mungkin Berminat