MAS sambut ketibaan Airbus A330neo pertama

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) dengan bangganya mengalu-alukan ketibaan Airbus A330neo pertama mereka yang menandakan era baharu keanggunan moden dan inovasi terkini.

Menurut MAS dalam satu kenyataan, ianya lebih daripada sekadar pesawat kerana ia adalah simbol komitmen syarikat penerbangan untuk mentakrifkan semula pengalaman perjalanan dan menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia.

“Pesawat ini berlepas dari Toulouse, Perancis dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan iringan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta mendarat dengan sambutan ‘air grand’.

“A330neo ini menampilkan 28 tempat duduk Kelas Perniagaan yang canggih, menawarkan katil rata sepenuhnya, akses terus ke lorong, serta privasi dan kemewahan tertinggi.

“Setiap tempat duduk dilengkapi dengan skrin hiburan berdefinisi tinggi (HD) sebesar 17.3 inci, disertai dengan pengalaman makan premium dengan layanan istimewa Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Tambah MAS, dalam Kabin Ekonomi terdapat 269 tempat duduk yang direka secara ergonomik untuk memastikan keselesaan terbaik dalam setiap perjalanan.

Katanya, penumpang boleh menikmati sistem hiburan HD (video definisi tinggi) sebesar 13.3 inci kini dengan keupayaan kandungan 4K.

Tambahnya, dikuasakan dengan enjin Rolls-Royce Trent 7000, A330neo menggabungkan prestasi yang lebih hijau dan cekap dengan keanggunan yang tiada tandingan.

“Pengalaman dalam pesawat yang direka semula ini menetapkan penanda aras baharu untuk perjalanan udara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat