MOTAC pandang serius kes kematian pelancong Jepun

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian pelancong warganegara Jepun di Perak bulan lalu.

Menurut kenyataan MOTAC, kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas pihak pemandu yang terlibat.

Selain itu, katanya, syarikat terbabit turut disiasat atas sebab kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

“MOTAC memandang serius perkara ini kerana impaknya besar terhadap industri pelancongan dan ekonomi negara.

“Kini, semua laporan perubatan, forensik, dan laporan polis telah diperolehi untuk siasatan lanjut dan tuntutan insurans,” katanya.

Menurut MOTAC, syarikat agensi pelancongan diingatkan untuk membuat penapisan pemandu sebelum lantikan demi menjamin keselamatan penumpang yang juga merupakan pelancong.

“MOTAC turut bersimpati dan merakamkan takziah kepada waris mangsa dan mereka yang terkesan akibat insiden ini.

“Oleh itu, MOTAC telah memperkenalkan langkah-langkah tambahan demi meningkatkan keselamatan pelancong dan memastikan insiden sebegini tidak berulang pada masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat