Pakistan hulur sumbangan bantu mangsa banjir Malaysia – Anwar

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif yang menzahirkan simpati kepada Malaysia yang sedang diuji dengan musibah banjir.

Anwar melalui satu hantaran di Facebook berkata, Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat negara ini di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana banjir.

Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, PM Shehbaz turut menyatakan hasrat untuk menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang terjejas.

“Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati PM Shehbaz dan mengalu-alukan sumbangan tersebut sebagai tanda persahabatan erat antara Malaysia dan Pakistan,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Anwar turut menjemput Shehbaz untuk berkunjung ke Malaysia awal tahun depan.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Pakistan.

“Keutamaan dan perhatian sepenuhnya kini pada kebajikan dan keselamatan mangsa banjir.

“Semoga Allah mengangkat musibah ini sesegera mungkin,” katanya.

Terkini, jumlah mangsa banjir di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah masih menunjukkan peningkatan.

Menerusi Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir yang terkumpul sekitar jam 6.30 petang adalah sebanyak 143,199 orang, merangkumi 43,044 keluarga.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat