Wanita didenda RM8,475, lewat bayar parkir 5 minit

DERBY: Seorang wanita England kini berdepan dengan tuntutan bayaran sebanyak USD1,906 (bersamaan RM8,475.98) kerana mengambil masa lima minit untuk membayar tempat letak kereta.

Menurut BBC, wanita tersebut yang dikenali sebagai Rosey Hudson, 42, mendakwa dirinya sukar membuat pembayaran tersebut atas sebab isyarat telefon yang lemah semasa berada di kawasan itu.

Masalah tersebut menyebabkan dia terpaksa berjalan ke lokasi lain untuk mendapatkan isyarat telefon bagi membuat pembayaran tarif penuh menggunakan aplikasi telefon bimbitnya.

Dipercayai, dia telah menerima 10 Notis Caj Parking (PCN) yang dihantar oleh Excel Parking Ltd sebaik pembayaran dibuat.

“Saya merasakan aturan yang dibuat oleh pihak itu terhadap pembayaran lima minit itu adalah sama sekali tidak wajar.

“Saya tidak mempunyai anak tetapi saya boleh bayangkan seorang ibu yang sibuk cuba menguruskan anak-anaknya, cuba membayar sesuatu ketika tiada isyarat di sini dan mesin yang rosak,” katanya.

Hudson juga menyatakan harapannya agar isu ini dapat diselesaikan kerana ia telah berlanjutan lebih setahun dan memberikan tekanan yang banyak.

Pihak jurucakap Excel Parking Ltd, ketika dihubungi BBC berkata, caj yang dikenakan itu adalah satu syarat dan terma khusus untuk pengguna tempat letak kereta.

“Adalah tanggungjawab pemandu untuk membaca dan memahami terma-terma tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, hal itu bertujuan untuk mengurangkan penyalahgunaan daripada pihak pemandu yang dianggap menggunakan kawasan parkir tersebut sebagai tempat untuk menurunkan dan mengambil penumpang sahaja.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat