PETALING JAYA: Di saat negara sedang berdepan dengan ujian bencana banjir, satu lagi berita duka telah menggemparkan kita.
Dilaporkan, satu kejadian tanah runtuh berlaku di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu yang telah meragut nyawa dua beradik, allahyarhamah Puteri Sajidah Azman, 16 tahun dan adiknya, allahyarhamah Fatimah Azman, 13 tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah dan doa agar roh kedua-dua allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
“Saya mendoakan agar roh kedua-dua allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
“Semoga keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang sangat berat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh yang berlaku ketika negara sedang dilanda banjir besar telah memaksa lebih 80,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat ini, 278 PPS beroperasi di 10 jajahan terkesan di seluruh Kelantan.
Pasir Mas kekal sebagai jajahan paling terkesan dengan jumlah penduduk dipindahkan seramai 24,890 individu dari 8,472 keluarga.