Bersatu perlu minta izin PAS sebelum intai peluang di Selangor

PETALING JAYA: Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) perlu meminta keizinan daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebelum menanam cita-cita untuk menerajui pentadbiran di mana-mana negeri.

Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu sedang mengintai peluang untuk menjadi Menteri Besar di Selangor selain Perak dan Pahang adalah gambaran yang beliau tidak menyedari mana parti yang lebih besar dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kedudukan Tan Sri Muhyiddin sendiri selaku budak poster bagi Perikatan Nasional untuk Pilhanraya Umum 16 adalah tidak selamat apabila mula dipertikaikan oleh PAS maka adalah hampir mustahil untuk parti dapat membuat keputusan sendiri pada masa hadapan.

“Malah PAS menerajui empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kerana parti itu yang menguasai keputusan didalam Perikatan Nasional dan bukanlah kerana persetujuan Bersatu atau Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau yang juga setiausaha politik Menteri Besar Selangor turut berkata sebarang persaingan politik sihat demi kepentingan masa depan rakyat adalah sesuatu yang positif dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

“Keadilan (PKR) dan Pakatan Harapan Selangor akan terus memberikan bakti perkhidmatan terbaik bagi memastikan iltizam memajukan negeri ini berterusan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa PN mampu merampas tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada Pilihan PRU16.

Katanya, ia berdasarkan sokongan rakyat kepada PN di ketiga-tiga negeri itu semakin bertambah.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ketujuh di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat