Kaji semula kuasa veto UNSC – Anwar

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) antara empat bidang utama yang perlu mendapat pembaharuan segera.

Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat selepas beliau menyifatkan proses membuat keputusan oleh UNSC adalah lapuk sekali gus menghalang majlis itu bersikap adil.

“Selain bertindak menjadi jentera keselamatan, UNSC dilihat seperti tidak menjalankan tanggungjawab dengan adil. Kita dapat melihat akibat seperti yang berlaku di Gaza, penganiayaan terhadap Rohingya dan perang di Ukraine.

“Sehingga veto dimansuhkan, kita mesti menetapkan dengan jelas peraturan terhadap UNSC. Veto harus diharamkan berikutan kes kekejaman secara besar-besaran.

“Inilah cara kita menuju ke arah sistem yang lebih adil dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Program Common Action Forum 2024 di ibu negara pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tiga lagi bidang yang memerlukan pembaharuan segera termasuk struktur kewangan antarabangsa, pembaharuan dalam sistem perdagangan dunia dan kewangan dan keadilan iklim.

Ketika berucap sempena Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil bulan lalu, Anwar dilapor mengkritik struktur UNSC yang dianggapnya tidak adil dan inklusif.

Beliau juga dilapor menggesa agar kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara anggota tetap UNSC dikaji semula.

Amerika Syarikat, China, Russia, Britain dan Perancis adalah lima anggota majlis tetap, yang semuanya mempunyai kuasa veto.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat