Khalid Samad mampu perkasa sektor pertanian

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pelantikan Khalid Abdul Samad sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu, berupaya memperkasa sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana beliau percaya kewibawaan dan pengalaman Khalid mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Bang Mat ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Khalid Samad atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu.

“Perlantikan ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan, pengalaman, serta komitmen beliau dalam memimpin serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Bang Mat yakin dengan kewibawaan dan visi Khalid, KADA akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian, khususnya di Kelantan, demi manfaat para petani dan masyarakat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Pengerusi KADA, Muhammad Husain atas segala jasa, usaha dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Semoga segala sumbangan beliau menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT. Buat Khalid Samad, selamat bertugas,” katanya.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH dilantik sebagai Pengerusi KADA berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Beliau menggantikan bekas pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain yang menggalas jawatan itu sejak 15 Mei tahun lalu.

KADA adalah agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan yang bertanggungjawab memajukan dan menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial golongan petani di kawasan Kemubu di Kelantan.

Ia berfungsi meningkatkan taraf sosio-ekonomi petani dan pengeluaran makanan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat