Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) berpandangan penangguhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 hanya akan menjejaskan perkara-perkara lain termasuk kemasukan ke universiti.
Menurut perkongsian di Facebook KPM, pihaknya mempunyai mekanisme untuk menangani isu banjir dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Penangguhan akan memberi implikasi lain seperti jadual peperiksaan yang lebih padat, keputusan keluar lewat dan menjejaskan proses permohonan melanjutkan pengajian.
“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.
“KPM juga mempunyai pelan tindakan menghadapi MTL yang mana pekeliling menghadapi MTL kepada warga KPM telah dikeluarkan pada 22 Oktober 2024. Latihan dan simulasi rentas kementerian dan agensi juga dilaksanakan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan keputusan untuk meneruskan SPM mengambil kira pelan mitigasi dan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti NADMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
“Ia juga perlu mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan situasi Monsul Timur Laut (MTL) yang mungkin berpanjangan sehingga Mac 2025,” ujar mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah KPM, Azman Adnan berkata, pihaknya yakin mampu menguruskan isu yang berlaku pada musim banjir termasuk menggerakkan aset dan pengoperasian bagi menguruskan para pelajar.
“Malam tadi saya jumpa ramai calon SPM dan mereka sangat teruja kerana kementerian, masyarakat, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) sentiasa menyokong mereka.
“Keprihatinan masyarakat menyebabkan semangat mereka tinggi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata elemen psikososial calon-calon peperiksaan akan diutamakan khususnya ketika berdepan bencana.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) diarah untuk menggerakkan pasukan sokongan termasuk guru bimbangan dan kaunseling bagi memastikan aspek psikososial murid-murid berada pada tahap yang baik.
Seramai 402,956 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari 2025.
Baca juga: