Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Malaysia komited memperluaskan kerjasama dengan Timor Leste dalam pelbagai sektor.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sektor yang terlibat termasuk infrastruktur, perkhidmatan, agroindustri dan industri halal.
Malaysia turut memperluaskan kerjasama dengan Timor Leste dalam bidang pertahanan.
“Malaysia akan terus memperluas kerjasama termasuk bidang pertahanan dan keselamatan melalui Program Kerjasama Pertahanan Malaysia serta Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya.
Tambahan pula, kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tinggi turut menjadi agenda penting perbincangan antara kedua-dua negara.
Anwar turut memaklumkan bahawa penerbangan Batik Air ke Timor Leste akan bermula awal tahun hadapan, diikuti oleh AirAsia.
Usaha tersebut dijangka meningkatkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Malaysia turut menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi Timor Leste untuk menjadi anggota tetap ASEAN.
“Kami menantikan keanggotaan tetap Timor Leste pada 2025, ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Malaysia akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memudahkan proses ini,” tambahnya.
Anwar berkata demikian dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, hari ini.
Baca juga: