Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat swasta diseru bersama-sama dalam memberi bantuan dalam bentuk dana mahupun jentera serta sokongan moral kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bawah Khazanah Nasional Berhad, Petroliam Nasional Berhad (Petroliam) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) sudah mengerahkan semua syarikat di bawah mereka untuk membantu.
“Bank-bank tempatan juga sudah mengambil langkah sendiri untuk membantu. Saya seru sektor swasta yang berjaya, beri dana atau siapkan jentera… biar syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh turun juga ke gelanggang.
“Turun dan lihat kesusahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI pada Isnin.
Dalam himpunan itu juga, Anwar menzahirkan rasa syukur dan memuji persiapan negara dalam menghadapi bencana banjir.
Katanya, persediaan jentera Kerajaan Persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dari negeri-negeri terjejas banjir amat luar biasa.
“Persiapan itu berbulan-bulan sebelumnya, jadi tidak terlalu sukar bila ada persiapan yang baik.
“Saya sangat terkesan semalam (Ahad) dalam lawatan ke Terengganu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah NADMA melihat sendiri tentang persiapan, saya sempat bertanyakan soal mutu makanan, keselesaan tempat, rawatan perubatan dan seluruh jentera. Saya syukur dan bangga dengan khidmat yang ditunjukkan,” katanya.
Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 137,001 orang daripada 41,324 keluarga masih ditempatkan di 636 PPS di sembilan negeri.
Kelantan paling terjejas setakat ini dengan seramai 86,385 mangsa masih berada di 254 PPS membabitkan 26,922 keluarga daripada sembilan daerah.
Baca juga: