Isteri Cikgu Din meninggal dunia

TUMPAT: Isteri kepada seorang guru lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Din dilaporkan meninggal dunia pada jam 9 malam tadi.

Berita duka itu dikongsikan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi aplikasi WhatsApp.

“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi… saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” kongsinya ringkas, memetik Berita Harian.

Isteri Cikgu Din, iaitu Nur Atiqah My Yusoff, 30, yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat menghembuskan nafas terakhir jam 9 malam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Solat jenazah Allahyarham Nur Atiqah diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, di sini.

Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian warganet di Facebook, Cikgu Din dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Guru yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, Sarawak itu juga dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.

Justeru KPM mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kiriman di Facebook menyampaikan takziah buat Cikgu Din sekeluarga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat