PETALING JAYA: Jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir di tujuh negeri mencatatkan penurunan kepada 66,189 orang pagi ini, berbanding 67,208 orang, malam tadi.
Bilangan penduduk terjejas di Kelantan menurun sedikit kepada 43,745 orang yang masih berlindung di 96 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 7.00 pagi ini, berbanding 43,753 orang malam tadi.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah penduduk tertinggi iaitu 22,441 orang, diikuti Tumpat (20,556), Kota Bharu (403), Bachok (243), Tanah Merah (55) dan Pasir Puteh (47).
Di Terengganu, jumlah penduduk yang berada di 59 PPS berkurangan kepada 14,294 setakat pukul 6.00 pagi ini, berbanding 15,448 orang malam tadi.
Daerah paling terjejas adalah Kuala Nerus dengan 6,366 mangsa, diikuti Dungun (4,594), Kuala Terengganu (2,511), Hulu Terengganu (466), Setiu (158), Marang (186) dan Dungun (13).
Sementara itu, jumlah penduduk terjejas di Kedah terus berkurangan pagi ini apabila 6,165 orang ditempatkan di 32 PPS berbanding 6,261 orang semalam.
Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi dengan 4,056 mangsa, diikuti Kubang Pasu (1,503), Pokok Sena (451) dan Padang Terap (155).
Jumlah penduduk terjejas banjir di tiga negeri kekal pada pagi ini dengan Johor merekodkan 1,068 orang di 20 PPS, Perak 442 orang di 10 PPS dan Melaka 172 orang di dua PPS.
Di Pahang, terdapat sedikit peningkatan bilangan penduduk terjejas banjir iaitu 53 orang yang ditempatkan di empat PPS berbanding 50 orang malam tadi.