MARA perkenal program TVET GiatMARA, bantu pekerja gig

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pekerja gig kini mempunyai peluang untuk menambah kemahiran mereka dengan mengikuti kursus di bawah GiatMARA.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, GiatMARA telah menghasilkan program latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) khusus untuk kumpulan pekerja itu.

“MARA melalui GiatMARA akan mula program TVET kepada pekerja gig. Contohnya, penghantar makanan dilatih kemahiran selenggara alat pendingin hawa. Sambil hantar makanan, boleh tawar khidmat servis pendingin hawa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau menambah bahawa pekerja gig terutamanya golongan muda perlu memikirkan kerjaya untuk jangka masa panjang.

“Sampai bila pekerja gig seperti penghantar barangan dan makanan akan terus bekerja dalam industri gig yang lebih berupa sambilan.

“Jika melangkau 40-an dan berkeluarga, waktu itu tenaga sudah kurang. Kalau tidak ada kemahiran lain atau sijil pendidikan, sukar mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, program latihan TVET itu menawarkan pelbagai kemahiran secara separuh masa dan peserta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf.

Tambah beliau, melalui Dasar TVET Negara, pemilik sijil SKM tahap tiga dan empat kini boleh menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan peringkat ijazah.

Asyraf turut menekankan pentingnya pekerja gig memikirkan masa depan mereka dan mendapatkan kemahiran tambahan yang boleh membantu mereka dalam jangka masa panjang.

“Mereka mungkin akan berhadapan dengan pelbagai cabaran sekiranya meneruskan pekerjaan tersebut apabila usia semakin meningkat dan mempunyai keluarga,” katanya.

Anda Mungkin Berminat