Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Pertemuan peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru.
Dalam aksi 90 minit itu, perlawanan berlangsung penuh kekerasan dengan tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Khalid Saleh Alturais.
Murilo dan Theerathon Bunmathan masing-masing menerima kad merah, diikuti Junheong yang turut diarah keluar pada masa tambahan.
Pemilik Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaannya terhadap keputusan tersebut yang menyaksikan peluang JDT mara ke pusingan seterusnya menjadi lebih tipis.
Tambahan pula, TMJ beranggapan bahawa pasukannya melakukan ‘kesilapan bodoh’ ketika perlawanan.
TMJ juga menegaskan akan memperbaiki persembahan pasukan pada masa akan datang.
“Tidak bernasib baik. Hanya memerhatikan bola, kesilapan bodoh. Satu mata, nasib baik tak kalah.
“Apa-apa pun, saya ambil tanggungjawab sepenuhnya dan saya pun kenal pasti apa yang perlu saya, jurulatih (Hector Bidoglio) dan kelab buat untuk memperbaiki pasukan ini.
“Terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua, saya amat menghargainya,” tulisnya di laman Instagram.
JDT akan berdepan Central Coast Mariners (Australia) dan Pohang Steelers (Korea Selatan) dalam dua baki aksi fasa liga ACLE pada 2025.