PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda untuk lebih peka mengenai tradisi akliah yang semakin terhakis.
Beliau berkata, kepekaan terhadap tradisi ilmu dan pencerahan atau apa yang disebut oleh Tan Sri Dr Syed Mohamad Naquib Al-Attas sebagai tradisi akliah perlu diperkuatkan.
“Kita perlu melatih rakyat melengkapkan diri dengan kerangka asas iaitu memberi makna kepada ‘Addabani Rabbi fa Ahsana Ta’dibi’ (Tuhanku telah mendidikku, sehingga menjadikan baik pendidikanku) dengan kekuatan dan asas ilmu melalui pembacaan, menelaah karya besar ke arah membina Malaysia MADANI,” katanya.
Anwar berkata demikian Ketika melancarkan dua buah buku bertajuk ‘Mohamad Natsir – Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad ke-20’ oleh Almarhum Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dan ‘Amanah Dakwah’ oleh Almarhum Dr Razali Nawawi di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), malam tadi.
Dalam ucapannya, beliau mengenang kembali kenalannya dengan Prof Dr Kamal Hassan sejak di Universiti Malaya dan Dr Razali Nawawi semasa di London.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua tokoh itu mempunyai sumbangan yang unik dalam memberi inspirasi kepada perkembangan ilmu dan gerakan Islam di Malaysia.
Tambah Anwar, beliau juga mengenang mantan Perdana Menteri Republik Indonesia, Mohammad Natsir yang dikenali sejak zaman muda.
“Beliau seorang negarawan yang sederhana, penuh pengertian dan ihsan melayani anak muda seperti saya ketika itu,” katanya.
Menurutnya lagi, Natsir juga dianggap sebagai cerminan kepimpinan penuh etika, santun, inklusif dan boleh dianggap sebagai ‘Muslim Democrats’ di zaman tersebut.
Di kesempatan itu, Anwar turut mengupas gelaran ilmuwan ulung yang dilontarkan oleh Kamal Hassan terhadap Natsir yang beliau percaya sebagai pengiktirafan terhadap ketokohan Natsir dalam mengupas dan memberi pencerahan dalam pelbagai rencana yang mencetuskan idea serta mencabar pemikiran lama.