Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Sukan Asia Tenggara (SEA) dianggap sebagai platform penting bagi atlet-atlet baharu untuk mewakili negara pada peringkat awal karier mereka, kata Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Menurut beliau, temasya sukan itu merupakan langkah awal dalam penyediaan atlet ke peringkat yang lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
“Jadi, pembangunan bakat-bakat baharu ini memang sentiasa diteruskan seperti yang kita tahu menerusi penganjuran di peringkat akar umbi dan juga pertandingan-pertandingan tidak terhad hanya di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Adam Adli juga menekankan bahawa pembangunan atlet pelapis atau atlet yang mempunyai pengalaman harus dipenuhi keperluan mereka.
“Paling penting sebenarnya adalah kita kena pastikan atlet-atlet pelapis atau atlet yang mempunyai pengalaman, kita kena sentiasa memenuhi keperluan mereka,” kata beliau.
Selain itu, Adam menyatakan bahawa pihak kerajaan mengutamakan penyediaan infrastruktur dan ekosistem yang baik serta pembangunan atlet tidak hanya terhad kepada kementerian dan majlis sukan tetapi juga melibatkan persatuan-persatuan sukan dalam negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkenaan persiapan dan pemilihan atlet yang mewakili negara ke Sukan SEA 2025 dan 2027.
Adam turut menyatakan bahawa kerjasama antara kementerian, majlis sukan dan persatuan sukan adalah penting untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan atlet-atlet baharu.
“Kerjasama ini akan memastikan program pembangunan bakat berjalan lancar dan atlet-atlet kita mendapat sokongan penuh,” ujarnya.
Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa atlet-atlet baharu yang berpotensi akan mendapat peluang yang lebih baik melalui Sukan SEA.