Tidak perlu tambahan MP – Tun M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan menambah bilangan kerusi Parlimen, dengan menegaskan bahawa jumlah sedia ada, 222 kerusi, sudah mencukupi untuk menangani isu rakyat.

Menurut Mahathir, penambahan kerusi hanya membebankan persidangan Parlimen tanpa manfaat ketara kepada rakyat.

Beliau merujuk kepada pandangan bekas Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Zahir Ismail, yang pernah menyatakan kebimbangan serupa semasa berkhidmat dari 1982 hingga 2004.

“Zahir pernah berkata bilangan ahli Parlimen yang terlalu ramai membawa kepada perbahasan yang panjang tetapi kurang bermakna.

“Daripada 222 ahli Parlimen, hanya sekitar 10 yang mengambil bahagian secara berkesan, selebihnya tidak aktif atau tidak berhujah secara bijak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Bekas perdana menteri itu mencadangkan bahawa kumpulan lebih kecil, sekitar 100 ahli Parlimen yang benar-benar aktif, sudah memadai untuk mewakili rakyat dengan berkesan.

“Menambah kerusi tidak akan meningkatkan kualiti perbahasan. Negara tidak akan memperoleh manfaat besar daripada penambahan tersebut,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat atau kerusi Parlimen memerlukan pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum perkara itu dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, pindaan itu perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada jumlah Ahli Dewan Rakyat.

Azalina menjawab kepada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanya jika kerajaan bercadang untuk menambah kerusi parlimen melalui persempadanan semula pilihan raya sebelum PRU akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat