Ahli Parlimen Pendang Digantung 10 Hari

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung 10 hari bermula hari ini.

Ia susulan beliau mengeluarkan dakwaan negatif terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu dan gagal memohon maaf.

Johari berkata, Awang mendakwa Speaker berlaku zalim terhadapnya dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Kenyataan dan tindakan Pendang telah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, kenyataan di TikTok bukan hanya dakwaan serius tetapi menyalahi hak serta keistimewaan sebagai Ahli Parlimen.

“Memandangkan YB tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai speaker, maka saya perintahkan YB keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan peraturan 44 (2),” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Johari, Awang tidak memohon maaf walaupun beliau telah menghantar surat pada 22 Julai selain meminta setiausaha Dewan Rakyat serta Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menasihatkan Awang berbuat demikian.

Beliau juga telah memperincikan kesalahan itu pada 6 November lalu namun permohonan maaf masih tidak lagi diterima.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat