Faham Agama Bukan ‘Tiket’ Bebas Hina Orang Lain – PM

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa martabat sebagai para ilmuan Islam tidak membolehkan seseorang itu menghina orang lain khususnya orang miskin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden seorang pendakwah di Indonesia yang didakwa menghina seorang penjual teh dalam satu majlis ceramah sehingga videonya tular di media sosial.

“Di Indonesia, beberapa hari ini riuh rendah di media sosial seorang pendakwah dalam dakwahnya, dia menghina seorang penjual teh. Saya lihat ramai yang menonton.

“Di antara paling miskin, tapi dia pendakwah dan rakan-rakannya, dengan ketawanya. Sehingga Presiden Indonesia, Prabowo beri kenyataan agak keras. Akhirnya pendakwah itu berkunjung ke daerah penjaja berkenaan dan mohon maaf.

“Ini satu contoh bahawa keangkuhan, sombong itu bukan saja dikalangan orang yang tak tahu agama, tapi orang yang faham agama, yang bicara tentang Islam akidah dan solat, tapi kadang-kadang boleh menghina,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut Anwar, video yang dikirimkan oleh rakannya di Indonesia itu memberi kesan terhadap dirinya serta memberikan perspektif berbeza terhadap penularan video berkenaan.

Ujarnya, insiden itu wajar menginsafkan semua terutama kepada golongan berilmu serta yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat, supaya bersikap lebih mulia dan tidak mudah menghina golongan bawahannya.

“Pengajaran dari insiden itu juga harus dihadam kerajaan, khususnya dalam memberi kefahaman pelaksanaan dasar kerajaan kepada rakyat dari kelompok seperti itu.

“Apakah makna transisi tenaga bagi orang-orang seperti ini. Jadi carilah kaedah kepada mereka.

“Di bank yang catatan keuntungannya besar, apa kedudukan orang termiskin yang bekerja dengan kita. Apa makannya, rumah di mana, gajinya berapa. Ambil perhatian.

“Dalam kerangka belanjawan dan negara begitu juga. Baik untuk pacu pertumbuhan dan tarik pelaburan. Tapi jangan lupa manfaatnya juga harus sampai ke akar umbi. Kita harus menyantuni semua,” katanya.

Semalam, tular video dari Indonesia memaparkan seorang pendakwah mencetus kontroversi kerana mengeluarkan ucapan kesat dan hinaan kepada seorang peniaga teh ketika berceramah di Magelang, wilayah Jawa Tengah pada 20 November lalu.

Pendakwah yang dikenali sebagai Miftah Maulana Habiburrahman menjelaskan bahawa beliau hanya mahu bergurau ketika mengungkapkan perkataan itu kerana sudah terbiasa bersikap sedemikian.

“Saya Maulana Habiburrahman mahu menjelaskan tentang video yang tular hari ini, yang pertama dengan kerendahan hati, saya meminta maaf atas kekhilafan saya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat