Timba Ilmu Kunci Tingkat Pengetahuan – PM

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan kepentingan menimba ilmu dalam berbagai bidang untuk meningkatkan kerencaman pengetahuan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, beliau menekankan ilmu yang banyak diperoleh bukanlah untuk kepentingan diri sendiri sahaja.

“Ilmu yang yang banyak di dada itu bukanlah untuk kepentingan diri sendiri hatta untuk meningkatkan prestasi kerja dengan penuh kasih sayang.

“Amanat saya ini adalah untuk mengingatkan semua di kala Kepengerusian  Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang bakal menjelang tahun hadapan, kita perlu bangkit untuk menunjukkan keterampilan tinggi dan kerencaman dalam kepimpinan dan juga penyampaian perkhidmatan awam,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) pagi tadi.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan golongan yang ‘berada’ di atas agar tidak angkuh dengan golongan bawahan.

Beliau mengambil ikhtibar daripada insiden viral di Indonesia di mana seorang pendakwah menghina penjual teh kerana jualannya tidak laku dalam satu majlis ilmu.

“Jangan sesekali lupa apabila ada keupayaan di semua peringkat ada kelompok yang tidak berupaya menjenguk kita,” ujarnya.

Beliau menyifatkan itu merupakan satu contoh keangkuhan dan sombong itu bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama tetapi orang yang beragama.

Sebelum ini, tular video memaparkan seorang pendakwah menghina seorang penjual teh ais dengan mengeluarkan perkataan biadap terhadap lelaki berkenaan semasa berceramah di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, namun pendakwah itu kemudiannya dikatakan telah berkunjung ke rumah peniaga berkenaan dan memohon maaf. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat