Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Malaysia berjaya mendapat pengiktirafan satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Disember.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pencalonan tersebut di bawah Kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
“Pencalonan bertajuk Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices ini merupakan usaha bersama antara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, dan Thailand.
“Penyenaraian yang cukup berprestij itu telah diputuskan oleh IGC ICH yang dianggotai 24 negara di bawah Konvensyen untuk Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003,” katanya pada Rabu.
Keputusan itu diumumkan pada 4 Disember 2024, pukul 9.50 malam waktu Malaysia.
Sementara itu, kebaya menjadi pencalonan ketiga secara bersama yang berjaya diperoleh Malaysia, selepas pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).
“Pengiktirafan ini lebih bermakna apabila badan penilaian Pertubuhan Pendidikan UNESCO mengiktiraf dosir pencalonan kebaya sebagai contoh dosir pencalonan jitu dan berprestij bagi fail pencalonan bersama.
“Dalam masa yang sama, pengiktirafan ini turut meningkatkan visibiliti Malaysia di peringkat dunia sebagai negara dengan khazanah warisan kebudayaan tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan dan menyumbang kepada ekonomi,” jelasnya lagi.
Justeru, kejayaan ini juga mencerminkan kerjasama erat negara ASEAN dalam mempromosikan kebaya sebagai simbol warisan serantau yang turut mempamerkan kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Baca juga: