Maritim Sumbang Bakul Ihsan MADANI untuk Mangsa Banjir

Oleh: Shafira Aziz

KUALA BESUT: Dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di Terengganu, Maritim Negeri Terengganu telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyalurkan sumbangan kepada 55 keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bantuan berupa 55 pek Bakul Ihsan MADANI telah diagihkan kepada 20 keluarga nelayan tradisional di Kampung Fikri, Setiu, serta 35 keluarga komuniti maritim di Kuala Besut.

Selain itu, enam keluarga anggota Maritim Malaysia di Terengganu turut menerima bantuan dalam bentuk tenaga kerja, barangan keperluan asas dan sokongan kewangan.

“Maritim Negeri Terengganu kekal proaktif dan peka terhadap komuniti maritim yang terjejas serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana rakan strategik dalam memastikan bantuan dapat disalurkan terus kepada mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Program tersebut dijayakan dengan kerjasama strategik Maritim Malaysia bersama Glide Marine Sdn Bhd dan DWR Services Sdn Bhd.

Pek bantuan ini mengandungi barangan asas yang penting untuk kegunaan harian, mencerminkan semangat kesepaduan dalam membantu komuniti maritim yang terkesan.

“Harapan kami, usaha ini dapat memberikan kemudahan dan sokongan moral kepada komuniti maritim serta warga Maritim Malaysia dalam menghadapi musibah ini,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut, khususnya di Pantai Timur Semenanjung yang kini dilanda cuaca buruk.

Aspek keselamatan bot dan vesel juga harus diberi perhatian serius bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Anda Mungkin Berminat