MINDEF hulur sumbangan kepada veteran ATM terjejas banjir

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari melawat ahli veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tinggal di sekitar Jajahan Pasir Mas, Kelantan terjejas akibat banjir pada Khamis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), statistik keseluruhan veteran ATM menunjukkan bahawa seramai 424 orang terjejas akibat banjir.

“Daripada jumlah tersebut, 299 daripada mereka yang terlibat menetap di Kelantan dan 125 orang Veteran ATM di kawasan Terengganu.

“Antara yang menerima lawatan adalah Yusrin Ariffin dan Haslina Mustapha yang menetap di kawasan Lubok Jong, Faizal Mustapha di Taman Megah Lagenda dan Che Aziz Che Long yang tinggal di Tok Uban.

Dalam pada itu, Adly turut menyampaikan sumbangan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang melaksanakan Operasi MURNI (Op MURNI) di kawasan yang terjejas.

Turut hadir sama semasa lawatan berlangsung adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Negeri Kelantan, Mejar Wan Abdullah Wan Abdul Samad, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta wakil persatuan-persatuan Veteran ATM sekitar Kelantan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat