PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati menerima kunjungan Chair of the Board of Trustees and Founder of Cambridge Muslim College (CMC), Syeikh Abdal Hakim Murad dalam siri Majlis Ilmu Madani yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.
Anwar berkata, kehadiran Syeikh Abdal yang terkenal dengan tradisi pengajian turath Islami serta penguasaan ilmu semasa adalah satu keberuntungan.
Beliau turut menyentuh pengalaman sejarah Barat dalam hal ehwal agama dan perkembangan menarik mengenai Islam di Eropah sewaktu meningkatnya sentimen Islamofobia.
“Namun, apa yang ada kini ialah bibit-bibit perpecahan, perselisihan di kalangan kita (umat Islam) yang tidak memungkinkan kita berdepan dengan kekuatan Barat atau Eropah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada majlis itu juga, Anwar juga tertarik dengan pandangan Syeikh Abdal bahawa umat Islam memerlukan satu suara yang berkesan untuk berhadapan dengan cabaran dan tekanan.
“Semoga majlis seperti ini akan terus membina kekuatan nurani serta terpancarnya dhamir, selain memupuk tradisi ilmu di kalangan masyarakat Madani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau berharap agar Majlis Ilmu Madani dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan tradisi ilmu dan pencerahan dalam kalangan masyarakat serta membina kekuatan nurani yang diperlukan untuk menghadapi cabaran kontemporari.