RCI Batu Puteh Syor Siasatan Jenayah Terhadap Tun Mahathir

PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis, lapor media tempatan.

Dalam laporan yang dinyahklasifikasikan di Parlimen, RCI menuduh Tun Mahathir memperdayakan kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut RCI, Mahathir telah membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

Sebelum ini, Tun Mahathir mendakwa bahawa keputusan menarik semula permohonan semakan Malaysia dibuat selepas perbincangan yang meluas.

Salah seorang yang menurutnya telah dirujuk adalah perunding antarabangsa Brendan Plant.

Namun, RCI menyertakan keterangan daripada Plant yang mengatakan bahawa Malaysia mempunyai “kes yang munasabah” untuk dibawa ke ICJ.

“Kami berpendapat terdapat peluang yang baik bahawa mahkamah (ICJ) mungkin dipujuk untuk menjelaskan apa yang mereka maksudkan sebelum ini dalam tafsiran asas mereka.

“Walaupun ini adalah perkara baru, ia jarang berlaku dan tidak pernah berjaya sebelum atau selepasnya, tetapi kami berpendapat bahawa dalam keadaan tertentu ini, terdapat hujah yang boleh dipercayai untuk dibuat, terdapat tuntutan yang berasas, dan ada peluang untuk berjaya,” kata Plant seperti yang direkodkan oleh suruhanjaya itu.

Katanya, dia tidak berpendapat menarik balik permohonan adalah pilihan yang jauh lebih baik.

Sumber foto: X @ahmadmaslan

Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Pada 12 Jun lalu, Tun Mahathir memberi keterangan hampir dua jam kepada suruhanjaya berkenaan dan pada sidang media kemudian, menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.

Katanya, keputusan berkenaan sebaliknya diputuskan Kabinet pada 2018 dan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu berpendapat ia kes yang lemah dan Malaysia tiada ‘peluru’ untuk menang.

Tun Mahathir juga dilaporkan berkata, ketika Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membawa perkara berkaitan Batu Puteh kepada ICJ, perjanjian sudah dibuat bahawa apa sahaja keputusan perlu diterima oleh kedua-dua negara.

“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan), kalau mungkir janji, nama buruk pada Malaysia,” kata Tun Mahathir.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat