Vivy Yusof, suami mengaku tidak bersalah pecah amanah RM8 juta

Oleh: Syahirah Harish / Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang Fashionvalet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah atas dakwaan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta (S$2.4 juta) di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37 tahun, dan Fadzarudin, 36 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB.

Kemudian, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.

Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat