3 lelaki dicekup curi RXZ milik warga Singapura

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Seramai tiga lelaki warga tempatan ditahan pada awal pagi Jumaat, selepas dipercayai terlibat dengan sindiket curi motosikal seperti yang tular di media sosial awal bulan ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua suspek berusia lingkungan umur 21 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan empat lokasi berasingan di bandaraya Johor Bahru dan Muar, Johor.

Beliau berkata, ia susulan seorang lelaki warganegara Singapura yang membuat laporan polis dan mendakwa bahawa motosikal miliknya, Yamaha RXZ yang diletakkan di tempat letak motosikal sebuah hotel terkemuka hilang baru-baru ini.

“Sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS membuat serbuan berasingan pada jam 12 hingga 1.32 pagi.

“Menerusi Operasi Khas Op Lejang ini juga, pihak polis merampas tiga buah motosikal yang disyaki dicuri serta kad pengenalan suspek yang digunakan sebagai akses parkir.

“Semakan rekod jenayah terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, suspek pertama mempunyai 11 rekod jenayah lampau kes jenayah dan suspek ketiga mempunyai tiga rekod lampau jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Raub, hasil saringan ujian air kencing mendapati, suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian curi motosikal kerana mahu mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian.

“Hasil tangkapan sindiket ini, pihak polis berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikal yang dilaporkan.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline 07-2182323.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat