PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan oleh ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin berkaitan pertuduhan mengabaikan anaknya pada Jumaat.
Keputusan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
Susulan keputusan tersebut, TPR memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk menyelesaikan permohonan dokumen tambahan oleh pihak pembelaan.
Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini pada 3 hingga 7 Februari 2025 serta tarikh tambahan 10 hingga 14 Mac 2025.
Pada 13 Jun lalu, ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak.
Kesalahan tersebut telah didakwa di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, di sini, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Baca juga: