PETALING JAYA: Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung kegagalannya mempertahankan kedaulatan Malaysia dalam isu Batu Puteh (Pedra Branca).
Gesaan itu dibuat susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentangkan di Parlimen semalam, yang mencadangkan siasatan di bawah Seksyen 415(b), 417, dan 418 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, laporan itu mendakwa kelemahan tindakan ketika pentadbiran Mahathir telah menyebabkan kehilangan Batu Puteh kepada Singapura, sekali gus mencabar kedudukan wilayah dan maruah negara.
“Sebagai Ahli Parlimen Johor, saya amat kecewa dengan kegagalan ini.
“Ia bukan sahaja mencerminkan kelalaian kepimpinan tetapi turut menjejaskan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isu Batu Puteh telah menjadi pertikaian diplomatik antara Malaysia dan Singapura selama beberapa dekad.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura.
Namun, Yuneswaran menegaskan pentadbiran Mahathir gagal menggunakan peluang untuk mengemukakan bukti baharu dalam tempoh yang diberikan oleh ICJ.
“Kegagalan ini adalah peluang yang terlepas untuk mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.
“Ia memberi kesan besar kepada hak maritim, keselamatan negara, dan pengaruh serantau,” katanya.
Beliau turut menyifatkan isu tersebut sebagai ancaman kepada maruah negara dan menggesa penilaian menyeluruh dilakukan untuk memastikan insiden serupa tidak berulang.
Yuneswaran menekankan keperluan untuk memastikan akauntabiliti kepimpinan dalam menangani isu ini.
Beliau percaya tindakan segera harus diambil bagi mempertahankan kepentingan nasional.
“Kedaulatan negara adalah perkara utama. Kita perlu belajar daripada kesilapan lalu dan mengambil tindakan tegas bagi melindungi maruah serta kepentingan negara,” tegasnya.
Beliau yakin pihak berkuasa akan menangani isu ini dengan serius demi menjaga kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.
Baca juga: