Gempa bumi 7.0 landa pantai California, amaran tsunami dibatal

LOS ANGELES: Gempa bumi kuat berukuran 7.0 pada skala Richter melanda pantai utara California pada pukul 2:44 pagi, 6 Disember 2024, menurut Lembaga Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Memetik laporan BBC, amaran tsunami pada awalnya dikeluarkan di sepanjang pantai utara California dan selatan Oregon – kawasan yang melibatkan kira-kira 4.7 juta orang, namun telah dibatalkan kemudian.

Pusat gempa terletak berhampiran dengan bandar Ferndale, California yang merupakan sebuah bandar kecil di Humboldt County yang terletak kira-kira 418 kilometer (km) utara San Francisco.

Pegawai tempatan melaporkan tiada kematian atau kerosakan besar yang dilaporkan selepas gempa tersebut yang merupakan salah satu daripada sembilan gempa bumi berukuran 7.0 ke atas yang berlaku di seluruh dunia tahun ini.

Pejabat Syerif Humboldt County memberitahu CBS News, rakan kongsi BBC di Amerika Syarikat, bahawa tiada kemusnahan besar kepada bangunan atau infrastruktur namun beberapa rumah melaporkan kerosakan kecil.

Beberapa kedai di kawasan itu melaporkan barang-barang jatuh dari rak dan bekalan elektrik terputus sebentar bagi banyak penduduk, menurut pejabat syerif itu.

Lebih daripada 10,000 orang di Humboldt County terputus bekalan elektrik selepas gempa bumi berlaku, menurut laporan poweroutage.us.

Walaupun gempa bumi ini tidak menyebabkan kerosakan besar, seorang penduduk Ferndale yang bercakap kepada BBC beberapa minit selepas gempa melaporkan bahawa bahagian dalam bangunan yang dia berada “kelihatan seperti bom telah meletup di setiap bilik.”

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), pusat gempa terletak pada koordinat 40.8° Utara dan 124.2° Barat dengan kedalaman 66 km, kira-kira 366 km barat laut dari San Francisco, USA.

Gegaran tersebut dirasai di sekitar kawasan Pantai California Utara, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Anda Mungkin Berminat