Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menggerakkan semua anggota dan agensi di bawahnya untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.
Inisiatif itu termasuk melancarkan Tabung Bantuan Ihsan Madani MOT 2024 dan menubuhkan Bilik Gerakan Ihsan Madani MOT mulai 2 Disember lalu.
“Ia bertujuan menyelaras perkara-perkara berkaitan kesiapsiagaan bencana peringkat kementerian,” menurut MOT dalam kenyataan pada Jumaat.
MOT memaklumkan antara tindakan yang diambil termasuk menggerakkan aset Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda serta lebih 400 sukarelawan ke lokasi-lokasi terjejas.
“Akademi JPJ Wilayah Timur di Kota Bharu juga dijadikan pusat penugasan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu mangsa banjir di Kelantan,” katanya.
MOT berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyarankan pengusaha bas ekspres dan kereta api untuk sentiasa mengemaskini maklumat perjalanan terkini dan mempertimbangkan pemulangan penuh harga tiket atau pindaan tarikh perjalanan bagi pengguna yang terjejas.
Pada masa sama, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan khas bagi kemudahan pelajar sekolah yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia 2024 serta menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang terkesan.
Bagi Prasarana Malaysia Berhad dan MRT Corp, agensi itu mengumpul dana dan menyumbang barangan keperluan asas seperti makanan, tilam dan selimut.
Mereka juga menggerakkan sukarelawan dan aset syarikat untuk membantu dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan yang dilanda banjir.
Baca juga: