Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Polis sudah pun menerima laporan berhubung kes murid 10 tahun, yang didakwa dikasari guru sekolahnya dekat Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Johor, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut daripada seorang lelaki pada jam 4.42 petang Khamis.
Berdasarkan laporan itu, katanya, murid tersebut telah dipukul oleh guru berkenaan di makmal komputer sekolah terbabit.
“Dalam kejadian, mangsa telah mengalami lebam dan sakit di pipi.
“Siasatan akan dijalankan setelah permohonan perintah untuk menyiasat diperolehi daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis akan mengambil keterangan daripada saksi-saksi terlibat bagi membantu siasatan,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Orang ramai yang yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi di talian hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323.
Sebelum ini, seorang murid didakwa ditampar, ditumbuk, direntap rambut dan diseret hingga ke pejabat sekolah oleh guru sekolah.
Hantaran yang ditularkan oleh seorang pengguna Facebook itu turut mempersoalkan perbuatan tersebut,berikutan mangsa tidak mempunyai ibu bapa dan tinggal di rumah kebajikan masyarakat.
Ini seterusnya mendapat respons kemarahan orang ramai yang mahu keadilan ke atas mangsa serta tindakan sewajarnya ke atas pelaku.
Baca lagi.