PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan melawat CG Global Profastex Manufacturing Sdn. Bhd. (CG Global) yang terletak di Zon Perindustrian Prai, Pulau Pinang.
CG Global adalah sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik bumiputera wanita yang menjadi pengeluar utama dalam penyediaan spektrum perkhidmatan Contract Electronics Manufacturing (CEM).
Anwar menyampaikan ucapan tahniah dan semangat kepada seluruh warga CG Global yang 80 peratus daripada tenaga kerjanya adalah wanita dan berjaya menembusi pasaran global.
“Selamat maju jaya kepada CG Global yang telah mencapai kejayaan besar ini.
“Semoga peningkatan pelaburan dalam sektor teknologi muktahir ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat-syarikat tempatan agar warga tempatan terus diberi peluang selayaknya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa untuk bermesra dengan rakyat melalui Program Termurah MADANI di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Sabtu.
Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit di program tersebut dan melancarkan Peluncuran Serentak Jualan Termurah Madani bagi Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.