Fahmi minta Fahmi mansuh ‘Akta Sakit Hati’

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Setelah beberapa bulan tidak menerbitkan karya satira, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin membuat kemunculan semula di media sosial.

Menerusi hantaran baharu, Fahmi Reza menggesa beberapa menteri Kabinet, termasuk Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil untuk memansuhkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) yang dikenali sebagai Akta Sakit Hati.

“Hello Fahmi Fadzil. Bila kau nak mansuhkan #AktaSakitHati?” soalnya sambil memuat naik foto Fahmi Fadzil bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Sementara itu, Fahmi Fadzil dalam wawancara dengan Astro Awani berkata, kandungan berunsur parodi dan satira tidak lagi dikategorikan sebagai jenayah secara automatik selagi tidak melampaui batas ‘jelik melampau’.

Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan menetapkan garis panduan yang jelas.

Tambahnya, pindaan akta tersebut menetapkan garis panduan yang jelas bahawa kandungan sedemikian tidak menjadi kesalahan, melainkan ia melampaui batas.

Menurut Fahmi lagi, terma ‘jelik’ akan dikhususkan kepada ‘jelik melampau’ berserta sejumlah huraian sama ada dari aspek penguatkuasaan atau mahkamah untuk diteliti serta difahami.

Pada masa ini, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, adalah menjadi kesalahan untuk menggunakan kemudahan rangkaian bagi menyampaikan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Pindaan yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu antara lain menggantikan perkataan ‘jelik’ kepada ‘jelik melampau’.

Anda Mungkin Berminat