Imaginur menang filem terbaik FFM33

Oleh: Kamilia Ali

IMAGINUR memenangi anugerah filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada malam Sabtu.

Filem arahan Nik Amir Mustapha itu turut meraih beberapa anugerah seperti Penataan Seni Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kemenangan itu sekali gus mengenepikan filem Sheriff: Narko Integriti, Abang Adik dan Rain Town.

Selain itu, pelakon lelaki terbaik dimenangi oleh Beto Kusyairy yang memegang watak Zuhal dalam filem Imaginur.

Manakala, sekali lagi Susan Lankester berjaya meraih anugerah pelakon wanita terbaik menerusi filem Rain Town. Sebelum ini, Susan turut merangkul anugerah sama di Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024.

Tema FFM 33 iaitu Evolusi Sinema Malaysia (EMAS) melambangkan nilai dan potensi tinggi industri perfileman.

Pada festival kali ini, beberapa anugerah khas disediakan, iaitu Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Juri 1, 2 dan 3 serta Anugerah Khas Filem Box Office.

Bagi memastikan golongan muda terus berkarya, mereka disarankan untuk mengambil inspirasi daripada seniman dan seniwati agung yang karya mereka masih dikenang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat