SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menyatakan kekesalan kerana menimbulkan kebimbangan awam susulan pengisytiharan undang-undang tentera awal minggu ini.
Beliau berikrar tidak akan mengulangi tindakan sedemikian, lapor Agensi Berita Yonhap.
Dalam ucapan umum yang disiarkan di televisyen, beberapa jam sebelum undian parlimen terhadap usul pemecatannya, Yoon berkata, “Saya benar-benar memohon maaf kepada rakyat yang pastinya terkejut dengan perkara ini.”
Ini merupakan penampilan umum pertamanya selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa malam yang kemudiannya dibatalkan enam jam kemudian selepas Dewan Negara menolaknya.
Yoon menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil atas dasar ‘terdesak’ sebagai presiden tetapi mengakui tindakan itu telah menimbulkan kebimbangan dan kesulitan kepada rakyat.
Beliau berikrar untuk tidak mengelak daripada tanggungjawab undang-undang dan politik berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera itu.