Dr Dzul puji petugas proaktif kendali mangsa banjir di Kelantan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kejayaan usaha Pasukan Mobilisasi Bantuan Banjir Negeri Kelantan menyerlahkan semangat perpaduan dalam menghadapi cabaran musibah banjir.

Seramai 106 anggota mobilisasi dari pelbagai negeri telah turun padang membantu lebih 107,709 mangsa yang ditempatkan di 313 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memuji keberanian dan dedikasi semua petugas kesihatan yang bersatu hati dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kehadiran mereka membawa bukan sahaja bantuan fizikal tetapi juga harapan dan semangat kepada mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut mengambil langkah proaktif seperti pemantauan penyakit berjangkit, perkhidmatan kesihatan di PPS dan sokongan kesihatan mental.

Inisiatif ini, menurut Dzulkefly, amat kritikal untuk mengurangkan kesan musibah terhadap kesihatan rakyat.

Kerjasama menyeluruh antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat juga menjadi faktor utama kejayaan operasi ini.

“Pendekatan Whole Of Nation adalah kunci untuk menghadapi bencana besar seperti ini,” tambahnya.

Ujarnya, semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan petugas menggambarkan usaha bersama membina kembali kehidupan mereka yang terjejas.

“Mari kita teruskan usaha ini untuk memastikan rakyat Kelantan dapat bangkit semula dengan lebih kuat,” ujar beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat