Al-Assad suaka di Moscow, Syria terus terancam

RUSSIA: Basbar al-Assad yang memerintah Syria selama 24 tahun kini disahkan berada di Moscow selepas penggulingan oleh pembangkang yang berjaya menawan ibu kota Damascus.

Media Rusia hari ini melaporkan Assad telah diberi suaka oleh negara tersebut, selepas meletak jawatan dan meninggalkan Syria.

Manakala di Syria pula, rakyat membanjiri jalan-jalan untuk meraikan kejatuhan rejim al-Assad, yang selama ini sinonim dengan kekejaman dan peperangan.

“Namun, suasana kegembiraan ini turut disertai oleh langkah berjaga-jaga apabila perintah berkurung diumumkan di Damascus untuk memastikan keselamatan orang awam,” kata kenyataan itu, memetik Al-Jazeera.

Pada masa sama, Israel mengesahkan telah mengambil alih zon penampan di Bukit Golan yang diduduki selepas perkembangan terbaru ini.

Serangan udara Israel juga dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di Syria, menambah ketegangan di rantau tersebut.

Walaupun rejim al-Assad telah tumbang, bahaya akibat perang masih menghantui rakyat Syria.

Menurut Humanity and Inclusion (HI), lebih satu dekad peperangan telah meninggalkan kira-kira 300,000 periuk api dan bahan letupan tidak aktif di seluruh Syria.

Ancaman ini terus meragut nyawa, walaupun peperangan berskala besar telah berakhir.

Kejatuhan al-Assad adalah momen bersejarah bagi Syria, tetapi cabaran untuk memulihkan negara itu masih besar.

Selain isu politik, ancaman sisa-sisa perang ini adalah peringatan bahawa konflik yang berpanjangan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan tanah air mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat