DOSM: Jumlah penganggur menurun, pasaran buruh serlah prestasi positif


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila bilangan penganggur pada Oktober 2024 merekodkan penurunan kepada 551,400 orang, berbanding 555,300 orang pada bulan sebelumnya.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran kekal stabil pada 3.2 peratus, mencerminkan keadaan ekonomi negara yang semakin optimis.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyifatkan trend ini sebagai perkembangan positif yang selari dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kedudukan pasaran buruh negara pada bulan Oktober 2024 kekal baik berikutan perkembangan positif ekonomi Malaysia.

“Ini ditunjukkan oleh peningkatan yang stabil dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Laporan tersebut turut mencatatkan peningkatan bilangan penduduk bekerja kepada 16.72 juta orang, naik sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada kenaikan ini, terutamanya dalam bidang perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman, serta pengangkutan dan penyimpanan.

Selain itu, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada 10.4 peratus, melibatkan 301,500 penganggur belia.

Kejayaan ini dikaitkan dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk Program Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan latihan pendidikan teknikal seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Prestasi pasaran buruh negara menunjukkan trend peningkatan yang konsisten, selari dengan kadar penyertaan tenaga buruh yang stabil.

“Senario ini dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap pekerjaan dan membuka lebih banyak peluang,” ujarnya.

Dengan sokongan pelbagai program kerajaan, pasaran buruh Malaysia dijangka terus kukuh, memberi harapan kepada rakyat untuk masa depan yang lebih cerah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat