SHAH ALAM: EXCO Selangor, Datuk Ng Suee Lim melakukan permohonan maaf susulan insiden seorang penyanyi rap mendakwa dirinya dirakam secara rahsia ketika tidak berbaju, ketika serbuan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), minggu lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan itu tidak menolak kemungkinan sekiranya ada salah faham antara kedua-dua pihak, seterusnya memberi jaminan akan menyelesaikan perkara tersebut secara berhemah.
“Mohon maaf atas insiden berlaku.
“Setakat ini kita belum ada satu prosedur operasi standard yang jelas bagaimana tindakan diambil pihak penguatkuasa terhadap premis yang tidak berlesen.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden sedemikian daripada berulang,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Ng berkata, pihaknya juga akan mempertimbang cadangan penggunaan kamera badan ketika operasi oleh pihak berkuasa tempatan pada masa akan datang.
“Kita akan semak dan libat urus dengan semua PBT dulu sebelum sebarang keputusan diambil (cadangan penggunaan kamera badan). Kita perlu meneliti kebaikan dan kekurangannya,” katanya.
Khamis lalu, penyanyi rap tempatan, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen membuat beberapa hantaran di platform media sosial X, mendakwa anggota penguat kuasa merakam videonya ketika dia hanya bertuala.
Zamaera berkata, dia berada di dalam sebuah bilik di pusat urut apabila beberapa lelaki dipercayai anggota penguat kuasa MBSJ memasuki premis itu.
Penyanyi itu turut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan telah menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat
Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013.
Baca juga: