Kerajaan sedia perhalusi cadangan lantikan Peguam Negara libatkan Parlimen

PARLIMEN | Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan membawa proses pelantikan Peguam Negara (AG) ke jawatankuasa Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Menjawab soalan tambahan Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata cadangan itu terbuka untuk diperhalusi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Ini adalah cadangan yang bernas dan memerlukan penelitian mendalam.

“Sebarang langkah melibatkan perubahan institusi seperti ini perlu dilakukan secara komprehensif,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan pelantikan Peguam Negara baharu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, dibuat berdasarkan merit dan pengalaman beliau sebagai peguam kanan.

“Datuk Mohd Dusuki memiliki integriti, kebijaksanaan, dan pengalaman luas, menjadikannya individu paling layak untuk memegang jawatan ini,” katanya.

Dalam usaha menambah baik sistem perundangan, Kulasegaran memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sedang menyediakan laporan interim berhubung pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya.

Laporan itu, yang disediakan Pasukan Petugas Khas Teknikal Komparatif, merangkumi dapatan kajian di Kanada, Australia, dan United Kingdom, selain melibatkan sesi perbincangan meja bulat bersama pakar undang-undang, ahli akademik, serta pertubuhan masyarakat sivil.

“Proses ini penting untuk memastikan model terbaik pemisahan peranan dapat dilaksanakan, dengan mengambil kira implikasi teknikal, kewangan, dan sumber manusia,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa membawa pelantikan AG ke Parlimen akan memperkukuh reformasi institusi dan memperbaiki persepsi masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat