Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Malaysia bakal mencatat sejarah baharu dalam perdagangan tenaga boleh baharu (TBB) merentas sempadan dengan pelancaran fasa pertama eksport elektrik hijau ke Singapura bulan ini.
Kapasiti awal sebanyak 50 megawatt (MW) akan dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui rangkaian sambung tara sedia ada kepada Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power).
Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara TNB dan Sembcorp Power telah dimeterai hari ini, disaksikan oleh wakil kerajaan Malaysia dan Singapura.
Menerusi kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pelaksanaan ini adalah hasil daripada bidaan kompetitif melalui platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) yang berlangsung pada Jun 2024.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan tenaga serantau, malah membuka jalan ke arah penggunaan tenaga hijau yang lebih meluas,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE), yang dijadualkan berkembang secara berfasa sehingga mencapai kapasiti maksimum 300MW.
Pelaksanaan CBES RE ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menggalakkan peralihan tenaga mampan dan menyokong integrasi bekalan elektrik serantau melalui Grid Kuasa ASEAN.
Inisiatif ini juga menjadi pencapaian penting dalam persediaan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025, menjadikan Grid Kuasa ASEAN sebagai salah satu agenda utama negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja memenuhi komitmen Malaysia terhadap peralihan tenaga, tetapi turut membuktikan kesediaan negara untuk memimpin usaha ke arah integrasi tenaga di peringkat serantau,” tambah kenyataan itu.
Pelancaran perdagangan tenaga hijau ini dijangka memberi impak besar terhadap usaha Malaysia dan Singapura dalam mencapai sasaran kelestarian tenaga, sekaligus meletakkan kedua-dua negara di hadapan dalam era transformasi tenaga.
Baca juga: