Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Sambutan Hari Antirasuah Kebangsaan 2024 menekankan peranan belia dalam memerangi rasuah melalui tema “Bersatu Bersama Belia Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Hari Esok”.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Negara (MASA), Azril Mohd Amin berkata tema ini menyeru seluruh masyarakat untuk berganding bahu melahirkan generasi muda yang kalis rasuah.
“Dalam tempoh lima tahun sejak 2019, seramai 2,332 belia berusia 16 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah.
“Angka ini cukup membimbangkan dan harus menjadi iktibar kepada semua,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
MASA menegaskan keperluan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dengan mekanisme pemantauan yang komprehensif.
“Ini penting bagi memastikan keberhasilan pelan strategik serta memperkukuh governans, integriti dan pencegahan rasuah secara menyeluruh,” tambahnya.
Usaha pencegahan rasuah juga perlu bermula dari peringkat awal, termasuk di rumah dan institusi pendidikan.
Peranan ibu bapa, tenaga pengajar serta inisiatif seperti Kelab Rasuah Busters dan Modul Integriti di universiti disarankan untuk menyemai budaya integriti di kalangan generasi muda.
MASA turut menyeru kolaborasi antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan sektor swasta bagi melaksanakan program kesedaran antirasuah yang meluas.
“Pendidikan dan pencegahan rasuah perlu menjadi keutamaan untuk menghindari ia daripada diterima sebagai norma dalam masyarakat,” ujarnya.
Kerajaan disarankan memperkukuh iltizam politik bagi mencapai sasaran Malaysia berada di tangga 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2033.
“Setiap usaha kecil mampu membawa perubahan besar ke arah negara sifar rasuah,” katanya lagi.
Baca juga: