Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Permohonan Datuk Zahidi Zainul Abidin untuk menjadi anggota PKR telah diluluskan pada pertengahan Mei 2024.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad yang turut mengakui bahawa, hasrat bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar untuk menyertai PKR bukanlah perkara baharu.
Sebaliknya, beliau berkata, ia dinyatakan tidak lama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Selepas dilantik menjadi Pengerusi PKR Perlis, saya dimaklumkan bahawa Zahidi telah memohon menjadi anggota parti dan diluluskan pada pertengahan Mei 2024.
“Maklum balas sebahagian anggota PKR, rakan PH (Pakatan Harapan) dan rakan perpaduan BN (Barisan Nasional) telah disampaikan kepada wakil pimpinan pusat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Sejak Ahad, pentas politik tanah air kecoh apabila Zahidi yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia menyertai PKR.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Zahidi digugurkan sebagai calon BN di Parlimen Padang Besar, namun bertanding sebagai calon Bebas, menyebabkan keahliannya dalam UMNO gugur dan beliau tewas di kedua-dua kerusi berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Noor Amin menegaskan bahawa, PKR berprinsip bahawa parti itu ditubuhkan untuk semua individu, manakala sesiapa jua dialu-alukan untuk menyertainya mengikut proses permohonan yang ada.
Namun lebih penting katanya, setiap ahli sudah tentu perlu menghayati perjuangan parti.
“Kita mengalukan sesiapa sahaja yang sanggup mengharung perjuangan ini dalam susah dan senang.
“PKR Perlis khususnya tidak menyediakan karpet merah kepada sesiapa.
“Sesungguhnya perjuangan parti masih jauh dan berliku. Banyak kerja keras dan usaha jitu perlu dilakukan bagi mengukuhkan parti, khususnya di negeri Perlis. Ia menuntut kesetiaan, persahabatan dan pengorbanan yang bukan kepalang,” ujarnya.
Baca juga: