Siasat, dakwa Tun Mahathir – Puad

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu disiasat dan didakwa berhubung isu Pulau Batu Puteh, gesa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Gesaan Puad itu susulan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan Malaysia mendapatkan ganti rugi atas kehilangan pulau itu.

Kata Puad, Tun Mahathir perlu didakwa di mahkamah untuk membongkar misteri susulan tindakan Mahathir menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menganugerahkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

“Nak tanya Kadir, ganti rugi dari siapa? Dari Singapura? Malaysia tak pasal pasal membayar ganti rugi kepada Singapura kerana projek HSR (kereta api berkelajuan tinggi) dibatalkan oleh Mahathir.

“Sebab itu Mahathir mesti disiasat dan dikenakan tindakan. Apakah mungkin ada kaitan membatalkan semakan kehakiman Batu Puteh dengan setuju membatalkan projek HSR?” soal Puad di Facebook pada Isnin.

Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap Tun Mahathir.

Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Laporan itu yang didedahkan di Parlimen menuduh Tun Mahathir menipu kabinet pada 2018 untuk menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan ICJ menganugerahkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam catatan blog semalam, Kadir berkata, Tun Mahathir tidak mempunyai masalah untuk disiasat kerana dia sentiasa mengalu-alukan peluang sedemikian menjelaskan perkara sebenar.

Kadir menulis, ”Sebaik-baiknya janganlah berhenti dengan usaha menghukum Mahathir saja. Yang lebih afdal adalah bagi kerajaan Malaysia Madani melakukan yang lebih baik bagi mendapatkan ‘ganti rugi’ dalam bentuk lain melalui perhubungan baiknya dengan Singapura,”

Sehubungan itu, Puad bertegas bahawa Tun Mahathir harus dihukum jika didapati bersalah.

“Denda RM1,000 pun ok. Ia simbol pengajaran untuk anak cucu jangan memandai jual maruah negara kerana dendam politik,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat