Isu Batu Puteh: Tun M dakwa kabinet setuju

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau tidak sama sekali menipu dan menggadaikan kedaulatan Malaysia berkaitan isu Pulau Batu Puteh.

Malah, beliau berpandangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.

Mahathir menegaskan bahawa, beliau tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyatakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.

“Keputusan untuk tidak memfailkan permohonan semakan dan tafsiran terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 mengenai tuntutan wilayah Batu Puteh adalah keputusan yang dibuat Kabinet.

“Kalau tidak percaya, sila bertanya kepada mereka yang hadir pada mesyuarat tersebut dan rujuk cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Mei 2018,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Selasa.

Sehubungan itu, Mahathir menafikan laporan RCI bahawa beliau menipu Kabinet dan tidak membuat keputusan secara sembunyi.

Dalam kenyataan media yang diberikan kepada pemberita, Mahathir juga mempersoal tindakan Jemaah Menteri ketika itu mengenai keputusan terhadap isu Batu Puteh.

”Saya juga ingin bertanya, pada masa keputusan ini dibuat mengapa Mohamad bin Sabu, Anthony Loke, Gobind Singh dan Dr. Dzulkefly bin Ahmad tidak berkata apa-apa? Atau adakah mereka bersetuju seperti mereka bersetuju Kabinet Anwar Ibrahim teruskan dengan RCI dan bentang di Parlimen Laporan RCI ini?

”Perdana Menteri baru-baru ini menyatakan isu ini adalah pengkhianatan. Kalau begitu mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 tidakkah Wan Azizah bercakap mengenai “Pengkhianatan” ini? Bukankah Wan Azizah TPM pada saya dan isteri perdana menteri sekarang?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerima surat daripada Peguamcara Negara bertarikh pada Mei 2018 dan dilampirkan bersama dokumen-dokumen berkaitan Semakan dan Tafsiran termasuk pandangan perundangan daripada pakar undang-undang antarabangsa

Selain itu, Mahathir berkata satu taklimat Jabatan Peguam Negara berkaitan kes tersebut juga diadakan dan dihadiri wakil-wakil Jabatan Peguam Negara, peguam-peguam tempatan dan pakar luar negara.

“Pada taklimat itu pakar undang-undang beri pandangan. Saya juga telah membaca pandangan perundangan dari pakar undang-undang antarabangsa,” dakwa beliau.

Pada 6 Disember, laporan RCI yang dinyahklasifikasi mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Mahathir secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat