Oleh: Shafira Aziz
KULAI: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah anak yatim di Taman Mas, di sini, kini berada dalam tahanan reman polis.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan lelaki berusia 59 tahun itu.
Video kejadian yang tular baru-baru ini memaparkan lelaki tersebut memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menggunakan rotan, sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat.
Menurut siasatan awal, kejadian tersebut berlaku pada Oktober lalu di rumah jagaan anak yatim swasta itu, tempat mangsa tinggal sebagai penghuni.
“Suspek telah ditahan pada 30 November lalu atas kesalahan lain yang melibatkan kes rogol, dan masih dalam tahanan reman sehingga 10 Disember.
“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Polis juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes.
Mangsa kini berada di bawah perlindungan pihak berkuasa, dan polis turut bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tersebut terus terpelihara.
Baca juga: